Tuesday, September 11, 2007

Aci Sorok

Dibeberapa tempat permainan ini dinamakan juga sebagai main sorok-sorok. Kanak-kanak lelaki dan perempuan amat mengemari permainan ini, ia amat mudah dan jumlah pemain yang tidak terhad. Lebih ramai yang bermain lebih mendatangkan keseronokan dan bertambah meriah lagi bagi mereka.Jenis permainan luar rumah dan memerlukan kawasan yang luas, persekitaran rumah akan dijadikan gelanggang. Sebatang pokok atau tiang akan dijadikan ibu atau rumah iaitu induk untuk pemain yang akan mencari rakan mereka yang menyorok.

Undian
Sebelum permainan dijalankan, kesemua pemain akan mencari seorang yang dinamakan pencari. Undian secara lai lai li tam plong dijalankan kepada semua pemain.

Cara Bermain dan Peraturan
Setelah pencari ditentukan, ia hendaklah berdiri dengan menutup matanya di rumah induk. Kiraan akan dibuat 1 hingga 100 atau kurang bilangannya secara kuat. Setelah selesai kiraan dibuat, pencari akan mula mencari rakan pemain lain yang menyorok disekitar kawasan yang telah ditetapkan. Jika terdapat pemain yang menyorok diluar kawasan yang telah ditetapkan ia dikira jadi dan akan mengambil peranan sebagi pencari pula.
Sekiranya pencari telah menjumpai salah seorang dari mereka, hendaklah disebut dengan kuat namanya dan dituruti dengan sebutan ibu. Dalam masa yang sama pencari hendaklah berlari ke rumah induk serta mencuit induk, dengan tujuan mematikan pemain yang ditemui agar pemain itu tidak boleh mencuit induk pula. Pencarian ini akan dilakukan berterusan hingga kesemua pemain yang menyorok ditemui.
Setelah seleasi kesemua pemain yang menyorok ditemui dan tiada seorang pun yang dapat membantu membatalkan cuitan pencari ke rumah induk, maka pemain yang mula-mula ditemui itu akan jadi pencari pula.
Seandainya pemain yang ditemui itu sempat mencuit terlebih dahulu dari pencari ke rumah induk, maka pencari ini akan jadi semula sebagai pencari dan permainan dimulakan semula. Hal yang sedemikian juga boleh terjadi sekiranya salah seorang dari pemain mencuit rumah induk dengan menjeritkan perkataan ibu, maka permainan akan dimulakan semula dan pencari akan tetap memegang peranannya.

No comments: